Saman terhadap Dr Mahathir Saman_menyaman_Anwar_Ibrahim

Saman kerana pemecatan Anwar dianggap tidak sah

Pada 23 Disember 1998, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Anwar terhadap Tun Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah untuk mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 September 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal. Ia ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Disember 1998 tanpa melalui perbicaraan penuh. Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh Perdana Menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan sekali gus mengesahkan keputusan berkenaan.[2] Akhirnya Mahkamah Rayuan yang diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff menyatakan bahawa ia masih sah di sisi undang-undang setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan dan pelucutan jawatan menteri Kabinet merupakan kuasa Perdana Menteri.

Tambahan lagi beliau menyatakan , Yang di-Pertuan Agong langsung tidak mempunyai budi bicara mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri.

Jelas beliau, ini kerana sistem Raja Berperlembagaan mengehadkan kuasa Seri Paduka berbuat demikian memandangkan rujukan kepada baginda seperti yang dizahirkan di bawah Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan hanya satu formaliti.[3]

Saman terhadap Tun Dr Mahathir kerana tuduhan homoseksual

Anwar Ibrahim telah mengemukakan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menuduhnya seorang homoseksual dalam persidangan yang dianjurkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam). Pada 9 September 2005, beliau bercakap sedemikian ketika menjawab soalan daripada wartawan . Pada 26 Januari 2006, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir dengan mendakwa kata-kata Dr Mahathir itu bersifat fitnah. Pada 4 Julai 2007, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Tengku Maimon Tuan Mat membuat keputusan bahawa saman Anwar terhadap Dr Mahathir itu tidak dapat diterima. Dr Mahathir Mohamad menggunakan imuniti 'Tun' dan bergantung kepada hak keistimewaan sebagai bekas Perdana Menteri ketika membuat kenyataan itu.[4]

Saman ini serupa dengan saman fitnah pada 1999 berhubung kes yang sama. Dengan ini, perbicaraan penuh ditolak bulat-bulat di peringkat awal lagi. Peguam Datuk V.K.Lingam yang mewakili Dr Mahathir. Peguam S.N. Nair mewakili Anwar Ibrahim.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Anwar masih disabitkan dengan meliwat Azizan Abu Bakar. Sabitan terhadap Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan bekas penulis ucapan Anwar, Munawar Anees telah diketepikan .[5]

Pada 21 Oktober 2009, Peguam Datuk V.K. Lingam yang mewakili Dr. Mahathir berhujah bahawa Anwar tidak mematuhi peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 apabila memorandum rayuannya dibuat dalam bahasa Inggeris dan bukannya dalam bahasa Melayu. Memorandum Anwar Ibrahim itu tidak ditandatangani oleh peguam cara perayu, tidak mempunyai tarikh spesifik, tidak mengandungi kronologi peristiwa kes serta gagal melampirkan indeks rekod rayuan dengan teratur.

Dengan demikian, saman fitnah RM100 juta terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dibatalkan. Malahan Anwar diperintah membayar kos kepada Dr Mahathir.[6]